Rakan Blogger

Kaunseling Menurut Prespektif Islam

Dalam konteks kaunseling Islam, keputusan atau pemilihan klien hendaklah berdasarkan kepada ajaran al-Quran, hadis, sunnah Nabi, dan ijmak ulama’. Ini disebabkan manusia yang bersifat lemah boleh membuat keputusan atau pilihan sendiri secara sedar dan terbuka, tetapi tidak terkeluar daripada keredhaan Allah. Dalam melakukan sesuatu, kita tidak boleh lupa daripada mengingati Allah. Allah yang kita sembah dan kepada-Nyalah kita meminta hidayat dan pertolongan. Sebagaimana firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

“Berdoalah kamu kepadaKu, nescayai Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Definisi kaunseling mengikut perspektif Islam menurut Aziz Salleh (1996) misalnya menyatakan bahawa kaunseling merupakan suatu khidmat perhubungan di antara seorang klien yang mempunyai masalah psikologikal dengan seorang kaunselor terlatih untuk membantu klien bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Suradi Salim (1996) menyatakan kaunseling sebagai hubungan peribadi bersemuka antara dua orang, yang seorang ialah kaunselor dan seorang lagi ialah klien. Kaunselor, melalui hubungan dan dengan menggunakan kemahiran khususnya menyediakan satu situasi dan suasana, apabila klien seorang yang normal dibantu memahami atau mengetahui masa hadapannya supaya dia boleh menggunakan sifat-sifat keperibadiannya dan potensinya dengan cara memuaskan dirinya dan memberikan faedah kepada masyarakat dan selanjutnya mempelajari cara-cara menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluannya pada masa akan datang.

Dari perspektif Islam, kaunseling keluarga merupakan proses membantu yang dilakukan oleh seorang kaunselor terhadap ahli keluarga yang mengalami konflik. Proses kaunseling yang terlibat masih sama dengan kaunseling individu. Namun apa yang membezakannya ialah proses membantu ini akan mengalami beberapa tahap awal seperti kaunseling individu bersama kedua-dua pihak yang berkonflik terlebih dahulu. Tujuannya adalah untuk mengumpul maklumat berkenaan konflik dari perspektif diri klien secara individu sebelum menyatukan mereka dalam satu sesi yang dipanggil kaunseling keluarga.

Manakala teori kaunseling Islam menurut pandangan Imam Ghazali lebih kepada pendekatan berdasarkan ayat al-Quran. Firman Allah S.W.T: 





Maksudnya:
“Serulah ke jalan Allah dengan bijaksana dan peringatan yang baik, berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik”.



a) Cara bijaksana



Bijaksana sama ertinya dengan hikmah yang merangkumi keadilan, tahan marah, bersifat kenabian, menolak kejahilan, menegakkan kebenaran, meletakkan sesuatu di tempatnya, perkataan yang benar, mencegah berlaku kerosakan, memahami dan prihatin dengan ilmu yang mendalam, menegakkan kebenaran dengan hujah-hujah yang jitu dan berpandukan al-Quran.



b) Nasihat yang baik



Sesetengah ahli tafsir menjelaskan maksud nasihat membawa makna:



• Memberi rangsangan kepada meninggalkan perkara yang buruk.
• Memberi nasihat secara yang meyakinkan bahawa nasihat itu untuk kebaikan dirinya.
Sesetengah ahli tafsir menyatakan nasihat yang baik membawa makna nasihat secara yang lurus, bukan dengan maki hamun atau herdik, kerana dengan lemah lembut ia membawa kesedaran dan keinsafan. Ini akan membawa kepada perkara yang baik.



c) Perbincangan yang terbaik



Maksud perbincangan yang terbaik dengan cara tidak menyinggung peribadi, menghina dan menjatuhkan martabat, malah merasakan kaunselor memahami dan cuba membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Klien yang bermasalah akan sama-sama berbincang dan meluahkan kepada kaunselor masalah sebenar. Atas bantuan kaunselor, klien merasakan ada orang yang memandunya menyelesaikan masalahnya secara bersama. Walau bagaimanapun terdapat perbezaaan antara teori kaunseling Islam dan teori kaunseling Barat. Kebanyakan teori kaunseling Barat tidak memberi penekanan sangat terhadap aspek-aspek spiritual manusia itu. Aspek-aspek spiritual manusia sangat jelas diterangkan dalam ayat al-Quran:

Maksudnya:



“ Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka ia akan memberikan kepadanya jalan keluar (dari kesulitan) dan akan memberinya rezeki yang tiada ia duga dari mana berasal ”



Sigmund Freud dalam teori psikoanalisisnya lebih cenderung untuk mengkaji hal-hal yang berlaku pada masa lampau kerana masa lampau dianggap berkaitan dengan masa kini berdasarkan psikologi. Dalam teori ini, kaunselor harus melihat kliennya daripada tiga aspek iaitu id, ego dan superego. Aspek ini secara amnya bermaksud setiap insan dikuasai oleh rasa hatinya. Manusia akan bertindak berdasarkan kepada kuasa mana yang kuat mempengaruhi dirinya. Dalam Islam kuasa yang dimaksudkan itu ialah nafsu sama ada ingin buat baik atau sebaliknya. Berhubung dengan nafsu manusia, ia hendaklah dilihat daripada fitrah kejadian manusia itu sendiri. Manusia terbina daripada dua unsur iaitu unsur rohani dan unsur jasmani. Unsur rohani manusia terdiri daripada roh. Hakikat roh diketahui Allah sahaja, manusia hanya mengetahui sedikit sahaja. Unsur rohani yang kedua ialah nafsu iaitu kehendak nafsu dan perasaan. Nafsu boleh dibahagikan kepada lima iaitu nafsu amarah, nafsu lawwamah, nafsu mutmainnah dan nafsu radhiah mardhiah.



Ketiga, hawa iaitu kekuatan atau tenaga batiniah (hakikat) yang menjadi penggerak kepada nafsu amarah. Nafsu amarah ini merupakan pendorong kepada manusia agar berbuat jahat. Keempat, akal. Akal merupakan satu anugerah Allah yang berfungsi untuk membezakan yang baik dan yang buruk. Unsur jasmani pula ialah unsur yang dapat dilihat atau dirasa terdiri daripada kulit, urat, darah, tulang dan sebagainya. Unsur jasmani ini telah dijelaskan oleh Allah:



Maksudnya:
“ٍٍSesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”



Teori beorientasi behavioristik pula melihat manusia seperti mesin atau robot yang boleh dimanipulasi oleh persekitaran dan menjadi mangsa kepada persekitarannya. Walaupun teori ini tidak merujuk kepada personaliti secara langsung tetapi rujukannya kepada perlakuan-perlakuan yang spesifik dan tidak spesifik yang dipelajari daripada persekitaran adalah berbeza dengan pandangan Islam yang tidak menganggap manusia itu pasif kerana manusia mempunyai akal fikiran, pengetahuan dan kepintaran, dan manusia berupaya mencorakkan kehidupannya di dunia.



Penentu tingkah laku manusia bagi Islam ialah akidah dan takwa kepada Tuhan bukan semata-mata ditentukan oleh persekitaran atau proses-proses pembelajaran. Sebagaimana firman Allah:



Maksudnya:
“ Dan tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya memperhambakan diri kepada-Ku ”



Carl Rogers dalam teori pemusatan insan pula menganggap manusia sebagai makhluk yang positif, rasional dan sentiasa bergerak maju. Manusia cenderung ke arah penyempurnaan kendiri sekiranya ia diberi kebebasan mengalami, memenuhi dan menyempurnakan keperluan-keperluan asasnya. Teori Rogers ada titik persamaan dengan pandangan Islam di mana manusia secara fitrahnya adalah baik. Manusia dianugerah Allah s.w.t. akal yang membolehkannya menuju ke tingkat kehidupan yang lebih sempurna.



Pandangan Rogers terhadap manusia yang dianggapnya mempunyai kebebasan mutlak dalam menentukan matlamat-matlamat hidupnya berbeza dengan Islam di mana manusia merupakan makhluk ciptaan Allah S.W.T dianugerahkan akal dan mempunyai kebebasan yang terbatas. Manusia terikat kepada perintah dan takdir Allah.



Albert Ellis pula mengemukakan teori Terapi Rasional Emotif (RET) yang mengandaikan manusia mempunyai potensi untuk bertindak secara rasional dan berfikiran waras. Teori ini tidak dinafikan oleh Islam tetapi tentang fungsi akal itu agak berbeza dengan pandangan Islam. Menurut pandangan Islam, kemampuan akal itu adalah terbatas. Manusia tidak mampu memikirkan apa sahaja yang ingin difikirkannya. Dalam al-Quran, Allah S.W.T menjelaskan tentang keupayaan akal manusia. Sebagaimana firman Allah S.W.T.:



Maksudnya:



“Allah tidak menimbulkan beban kepada seseorang itu melainkan sekadar apa yang telah Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”

Oleh itu manusia tidak boleh bergantung kepada rasionaliti semata-mata dalam menyelesaikan masalah dan persoalan-persoalan mengenai dirinya seperti andaian RET. Akidah dan taqwa adalah lebih penting daripada rasionaliti. Walaupun terdapat perbezaan antara pandangan beberapa teori barat dengan Islam,ini bukan bermakna bahawa keseluruhan teori-teori mengenai manusia dari barat itu ditolak. Teori-teori ini perlu diubahsuai atau diadaptasi supaya tidak bercanggah dengan agama yang dianuti dalam masyarakat Islam yang bertujuan mencari kesempurnaan manusia dalam konteks kesedaran tentang kewujudan Tuhan.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...