Rakan Blogger

Graduan Muda Sukar Mendapat Pekerjaan



Sebuah kaji selidik yang dilakukan oleh agensi pekerjaan, Jobstreet.com menunjukkan bahawa 55% majikan menyatakan bahawa ramai yang meminta jumlah gaji yang terlalu tinggi manakala 48% lagi berkata lemah Bahasa Inggeris adalah antara faktor utama mengapa ramai graduan dari kedua-dua pusat pengajian kerajaan dan swasta tempatan masih lagi menganggur.

” Jika kaji selidik yang dijalankan sebelum ini mendapati kurang kebolehan berbahasa Inggeris sebagai faktor utama, kini, sikap buruk telah menggantikan faktor tersebut,” menurut ketua pegawai operasi Jobstreet.com, Suresh Thiru.

Beliau berkata, selain itu ada juga sesetengah graduan tidak langsung memberitahu syarikat-syarikat terlibat jika mereka lewat untuk menghadiri sesi temuduga atau tidak dapat hadir langsung.Baru-baru ini, satu pengumuman telah dibuat menyatakan bahawa jumlah graduan yang menganggur telah meningkat dari 65,000 kepada 71,600 walaupun jumlah keseluruhan pengangguran telah berkurang dari 3.4% kepada 3.1% pada suku pertama tahun ini.

Satu lagi kaji selidik yang telah dilakukan oleh agensi Kelly Services menunjukkan bahawa ramai graduan yang meminta waktu kerja mereka diseimbangkan supaya mereka boleh membahagikan masa tersebut dengan aktiviti peribadi mereka dan bukannya sebaliknya. Pengurus pemasaran syarikat tersebut, Jeannie Khoo berkata, kebanyakan majikan juga tidak menggemari sikap buruk dan sikap tiada semangat juang para graduan ini untuk menaikkan taraf hidup mereka sendiri.

“Kebanyakan mereka masih mempunyai pandangan yang salah di mana mereka berfikir bahawa mereka mampu mendapat jumlah gaji yang besar walaupun jika mereka baru sahaja bekerja. Industri perbankan contohnya, mereka mahukan gaji sebanyak RM3,000 sedangkan menurut kadar pasaran, mereka sepatutnya mendapat gaji sebanyak RM2,200,” kata beliau.

Ketua pengambilan pekerja bagi syarikat Pricewaterhouse Coopers Malaysia, Salika Suksuwan, berkata, beberapa calon mungkin telah diberikan beberapa tawaran untuk bekerja.Namun, mereka bertindak secara tidak professional dengan menolak semua tawaran yang telah diberikan – dengan tidak menghadirkan diri untuk sesi temuduga ataupun hari pertama bekerja.

“Kadangkala kami terpaksa menghubungi mereka untuk mengingatkan mereka tentang sesi temuduga mereka sendiri apabila mereka gagal menghadirkan diri,” kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Talent Corp, Johan Mahmood Merican pula menasihatkan para garaduan supaya tidak membuat sebarang permintaan melampau terhadap gaji mereka.

“Menyertai sesebuah syarikat adalah lebih penting supaya dapat menambahkan pengalaman dan ianya juga boleh juga dijadikan sebagai persediaan untuk menghadapi masa hadapan,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, separuh daripada pemohon yang mendaftar di bawah portal JobsMalaysia (www.jobsmalaysia.gov.my) telah berjaya mendapat pekerjaan. Beliau berkata demikian semasa melancarkan pesta Graduan Aspire 2011 semalam, beliau berkata bahawa hampir 300,000 pemohon kini telah mendaftarkan diri pada laman web tersebut. (www.thestar.com.my)

Source : http://mynewshub.my/bm/2011/07/17/kenapa-graduan-muda-susah-dapat-kerja/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...