Rakan Blogger

'Sense Of Humor' atau 'Lawyer Burok'

Humor adalah sesuatu yang berkait rapat dengan unsur komedi, kelakar, lucu dan mencuit hati. Saya tertarik dengan isu 'Sense Of Humor' kerana tidak ramai orang yang berada diluar sana tahu salah satu ciri-ciri orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang mempunyai 'Sense Of Humor' atau memiliki nilai humor dalam keperibadian mereka. Mungkin orang ramai menganggap ini adalah perkara remeh tetapi tidak bagi saya. Orang yang memiliki 'sense of humor' ini sebenarnya merupakan seorang yang istimewa kerana tidak ramai yang mampu membuat orang tersenyum ketawa dan terhibur dengan apa yang diucapkan atau dilakukan mereka. Orang seperti ni biasanya kelihatan biasa-biasa sahaja, tidak terlalu serius sangat. Mereka yang ada 'sense of humor' ini sebenarnya merupakan seorang yang mampu memanipulasi situasi sekelilingnya. Mereka ini juga seorang kreatif dan bijak bermain dengan kata-kata. Ciri-ciri seperti inilah meletakkan mereka sebagai seorang yang lain daripada yang sekiranya diletakkan dalam satu kelompok manusia. Dan mereka ini pandai mencari perhatian orang ramai untuk menjadikan diri mereka menarik.

Walaubagaimana pun, isu 'sense of humor' yang saya ketengahkan ini jauh dari apa yang orang maksudkan 'lawyer burok' seperti selalu kita dengar dicuping-cuping telinga dari bibir mulut yang memberi alasan bodoh. Ada garis pemisah antara 'sense of humor' dengan orang yang 'lawyer burok', dimana mereka yang 'lawyer burok' sebenarnya ini selalu cuba memberi alasan atau daleh untuk membela diri mereka dalam satu-satu situasi. Orang yang memiliki 'sense of humor' ini adalah seorang yang sentiasa cuba mengaitkan sesuatu benda yang nampak bodoh dengan ideanya sendiri supaya ia menjadi logik dan menarik. Ini menjadikan idea baharu yang diketengah mereka ini adalah sesuatu yang bijak untuk didengar. Tetapi antara kedua-dua konsep ini 'sense of humor' dengan ' lawyer burok' mempunyai persamaan iaitu jika apa yang diucapkan atau dikatakan mereka itu sesuatu yang kelakar anda gelak sahaja dan anda ketawa. Tetapi disebalik apa yang anda gelak dan ketawakan itu tidak pernah anda fikir secara serius. Kadang saya sendiri terfikir tentang apa yang saya sendiri cakap ata ucapkan dalam kehidupan seharian sama ada ia merupakan sesuatu yang ada nilai humor yang bermanfaat atau 'lawyer burok' yang dikukuhkan lagi dengan lawak bodoh.

Adakah Anda Fobia?

Fobia bermaksud dimana pesakit mengalami ketakutan yang tidak wajar atau tidak rasional (irrational fears) terhadap sesuatu benda atau situasi yang khusus. Ia juga dikaitkan dengan pengalaman yang lalu atau pelaziman (conditioning) dimana rangsangan (stimulus) yang neutral dikaitkan dengan rasa takut atau cemas apabila mereka terdedah dengan situasi yang sama. Fobia adalah sebahagian daripada gejala penyakit jiwa yang lain seperti kemurungan (anxiety disorders). Umumnya ketakutan terbahagi dua iaitu takut biasa (normal fears) dan takut luarbiasa (abnormal fears). Fobia terbahagi kepada beberapa jenis iaitu fobia agora, fobia sosial dan fobia biasa. Kesan daripada fobia ini biasanya akan menyebabkan anda kemurungan, mudah panik, pengambilan alkohol berlebihan, dan timbulnya perasaan rendah diri. Untuk mengatasinya anda perlulah sentiasa berada dalam keadaan relax dan cuba tumpukan perhatian kepada sesuatu yang positif. Akhir sekali sentiasa yakinkan diri anda bahawa tiada sebarang bahaya akan menimpa diri anda selagi ianya dalam kawalan. Jika luar kawalan, adakah anda fobia?

Apa itu Somatotype?

Somatotype ialah perbandingan bentuk tubuh badan diantara diantara satu individu dengan individu yang lain, dimana perbezaan tubuh badan juga dapat membezakan personaliti dan ciri-ciri seseorang itu atau lebih tepat lagi tingkalaku. Mengikut Wilian Shalder, Somatotype ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Endomorphic, Mesomorphic dan Ectomorphic. Ketiga-tiga ini menunjukkan perbezaan dari segi bentuk tubuh dan tingkahlaku seseorang itu. Endomorphic ialah bentuk tubuh dimana mereka memilki tubuh yang agak gempal, rangka yang agak besar dan bahu yang lebar. Mereka dari golongan ini merupakan seorang yang pentingkan keselesaan dan amat sederhana tetapi mereka agak entrovet dalam beberapa situasi. Manakala orang yang dikalangan Ectomorphic pula adalah jenis tubuh yang kecil dan kurus, mereka ini terdiri daripada individu yang bersifat pemalu, sangat entrovet, lemah, menyendiri serta berasal dari keluarga yang proaktif. Hal ini amat berbeza dengan situasi golongan individu yang memiliki somatotype jenis mesomorphic. Mereka yang bertubuh mesomorphic memiliki badan yang sasa, tegap, dan nampak kukuh. Dari segi tingkahlakunya pula, mereka yang mesomorphic ini adalah seorang yang tegas dan agresif. Jadi anda di dalam kategori yang mana? Ecto, Endo atau Mesomorphic?

Korelasi Air Dengan Emosi Manusia


Gambar diatas ini adalah gambar satu molekul air yang biasa kita gunakan dalam kehidupan seharian. Memang kita memang tidak pernah gambarkan rupa bentuk air yang sebenar kerana itu tidak penting bagi kita. Apa yang penting pada masyarakat hari ini adalah memastikan air ada untuk digunakan. Pernah atau tidak kita terfikir tentang keajaiban air? Mengikut kajian yang telah dilakukan oleh seorang pengkaji dari Jepun yang bernama Masaru Emoto, air sebenarnya akan bertindakbalas dengan emosi manusia di mana air mampu merekod, merakam, menyimpan dan mengalirkan tenaga. Molekul air akan kelihatan bersinar-sinar sekiranya mendapat tindakbalas yang positif. Kita mungkin tidak sedar akan keadaan ajaib ini kerana kita sering kali lupa dan leka dengan benda-benda lain. Jadi, kita semua mungkin terlepas pandang tentang perkara ini. Yang menariknya disini, manusia sering menggunakan air kerana air merupakan keperluan asas bagi manusia tetapi kita tidak pernahkah terfikir bagaimanakah keadaan molukel air yang kita gunakan. Sedangkan air sentiasa memberi tindakbalas terhadap ransangan emosi manusia. Mulai hari ini adakah kita menggunakan air dengan sebaiknya atau menghiraukan peranan selagi ianya masih banyak?

Generasi Y Selepas Gen-X

Generasi Y ialah generasi masyarakat dunia yang lahir sekitar tahun 1980-an. Di kebanyakan negara, merekalah generasi terkaya dalam sejarah, berpendidikan sangat baik, paling sihat, tanpa mengenal perang, penyakit dan kemiskinan. Mereka lebih dikenal sebagai generasi 'Y' - Young, pengganti generasi 'X' atau mereka yang lahir antara 1960-an dan 1970-an yang kerap disinonimkan dengan generasi pascamoden. Di Amerika, mereka kerap disinonimkan dengan slackerdom (para pemalas) dan suka pada pesta serta cinta di sana dan sini. Generasi Y adalah produk dari zamannya iaitu internet, pasaran terbuka, globalisasi serta modenisasi. Mereka juga terkenal sebagai generasi yang boros berbelanja. Mereka tumbuh bukan akibat birth boom, melainkan faktor-faktor yang 'mencorakkan' dunia perniagaan. Yang paling dramatik ialah teknologi.

Internet telah memacu revolusi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang buat kali pertama dipimpin oleh orang-orang muda. Inilah kelompok yang mencipta Netscape, Web Browser komersial pertama, Marc Andreessen yang tumbuh bersama komputer. Pada tahun 1995, ia membawa Netscape kepada penyenaraian awam untuk mempercepatkan revolusi Internet. Juga Napster, teknologi berkongsi muzik yang menggoncang industri muzik, Yahoo! dan banyak lagi raksasa web. Maka, generasi Y adalah juga sebuah pasaran yang luar biasa. Produk-produk konsumer dibuat dan direkacipta menurut selera mereka. Mereka adalah sasaran Nike, Levi's, Motorola, IBM, Y Card, Close-Up, MTV, Coke. Sebagai keturunan generasi baby boomers, generasi Y menikmati segala-galanya. Berkumpul-kumpul di kafe, menikmati muzik Akon, Linkin Park, bersantai di Internet dan bersembang di alam maya. Mereka adalah juga generasi Naruto dan Nitendo dengan kekuatan yang mampu membesarkan atau menghancurkan sebuah perusahaan.

Generasi Y ini juga menuntut penghargaan dengan cara berbeza. "Orang tua tidak lagi memiliki seluruh jawapan. Mereka tidak lagi dalam kedudukan memberitahu anak-anak muda tentang apa yang mesti dilakukan," kata Yvonne Fritzche, seorang penyelidik di Lembaga Penyelidikan Pasaran Psydata, Frankfurt. "Teknologi adalah satu alasan yang membuat hubungan antara anak muda dan yang tua menjadi dialog berbanding pengajaran. "Generasi X yang lahir antara 1960-an dan 1970-an meskipun cerdas dalam soal-soal komputer, tetapi generasi sesudahnya tumbuh bersama mouse dan Internet dan itu merupakan anjakan yang cukup jauh. Satu anjakan yang menjanjikan kemajuan dan sekaligus mengerikan!

Kerang Bakar atau Kerang Rebus?

Ini mungkin mengejutkan ramai peminat kerang rebus atau kerang bakar. Sebagaimana yang kita ketahui, habitat kerang adalah di dalam lumpur dan pada kebanyakan waktu ia membuka cangkerangnya untuk mengumpulkan sumber makanan. Sekiranya kerang itu diperoleh dari kawasan yang airnya tercemar, kekotoran dan toksik yang terkandung di dalamnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti sakit perut akibat keracunan.




Lebih teruk, anatomi kerang menjadi tempat terbaik bagi aktiviti bakteria dan virus yang menyebabkan hepatitis dan meningitis. Ia sama bahaya dengan kes keracunan raksa seperti yang dilaporkan terdapat pada ikan laut. Wanita hamil dan mereka yang sensitif terhadap makanan separa masak sebaik-baiknya perlu melupakan keinginan untuk menikmati kerang atas risiko keracunan. Jika tidak dapat dielakkan, pastikan dahulu dengan pemilik gerai (jika dia mengetahui), dari manakah kerang itu didapatkan dan bagaimanakah ia dimasak.

Adakah kerang rebus lebih baik daripada kerang bakar? Sementara kerang bakar membuatkan kita memakan kesan lumpur yang menjadi unsur karbon dan tar, rebus pula menyingkirkan lebihan lumpur dalam cangkerang. Kaedah rebus juga boleh mematikan darah kerang yang berpotensi mengandungi unsur yang memudaratkan. Maka, anda perlu pastikan ia direbus lebih lama.

Ditindih atau Paralisis?

Ramai yang kata ternampak ‘benda’ tertentu yang menindih tubuh mereka hingga tidak boleh bergerak. Adakah itu sekadar cerita rekaan kerana tidak tahu hendak menghuraikan fenomena lumpuh sementara?

Menutur Dr.Haris, sebenarnya apa yang berlaku itu ialah merupakan fenomena paralisis tidur. Ia merujuk kepada suatu tempoh singkat yang membuatkan seseorang tidak dapat membuat pergerakan mana-mana bahagian badan ketika baru memasuki fasa hendak tidur (hipnogogik atau predormital), atau ketika hendak sedar daripada tidur (hipnopompik atau posdormital).

Apakah simptom-simptomnya? Lazimnya seseorang akan mengadu hilang upaya gerak anggota tangan atau kaki ketika baru mula tidur atau hendak sedar. Berlaku juga episod singkat paralisis otot skeletal, sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Ia biasanya dikaitkan dengan halusinasi hipnogogik atau aktiviti otak yang mencetus situasi seperti mimpi.

Paralisis tidur selalunya dikaitkan dengan narkolepsi, iaitu gangguan neurologikal yang membuatkan seseorang mengalami rasa mengantuk yang ekstrem lalu boleh tertidur secara tiba-tiba. Namun begitu, ada orang yang mengalami paralisis ini tanpa menunjukkan petanda narkolepsi.

Antara penyebab paralisis tidur ini adalah seperti tidur dalam posisi terlentang terlalu lama, jadual tidur yang tidak menentu, tidak cukup tidur dan istirehat, stres dan juga pertukaran gaya hidup secara mendadak (misalnya peralihan daripada mod rehat kepada aktiviti ekstrem secara mengejut).

Dalam kes halusinasi hipnogogik tertentu, seseorang akan merasa seperti ada orang lain di dalam bilik tidur mereka. Ada juga yang trauma apabila menyangka ada ‘sesuatu’ yang duduk di atas dada hingga menyukarkan pernafasan. Sejak berkurun, ia terjadi pada manusia dan dipanggil Fenomena Hag. Walaupun kesannya menimbulkan keresahan dan ketakutan, tiada risiko atau ancaman fizikal boleh berlaku. Dalam dunia ini memang ada makhluk lain di dimensi yang tidak dapat ditembusi mata kasar kita. Tetapi janganlah kita jadikan ia satu-satunya alasan bagi setiap kejadian yang tidak dapat dihuraikan.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...